25.12.13

Peluang Perniagaan

Produk atau Pengurusan?

Sekiranya berminat untuk menceburi bidang perniagaan, peluang memang sentiasa ada dan terbuka luas.  Dengan peningkatan pasaran sekarang, anda boleh memilih apa saja produk untuk dipasarkan atau boleh juga terlibat sama dalam pengurusan sekiranya ada produk sendiri,  ada modal sendiri atau boleh juga mewujudkan perniagaan perkongsian sesama ahli keluarga, rakan dan/atau pihak ketiga.


Antara produk yang boleh diniagakan (Gambar Hiasan)

Biasanya anda akan memilih produk-produk yang serasi dengan minat dan pengetahuan anda tentang produk tersebut.  Sekiranya minat dengan tudung, anda mungkin menjual tudung; sekiranya minat dengan produk kesihatan, anda akan memasarkan produk kesihatan atau mungkin anda berpengetahuan tentang produk komputer dan alatan-alatan tambahannya, tentu anda  akan memilih produk ini. Begitulah seterusnya dengan produk-produk yang lain.  Keserasian dan minat menjadi faktor penentu untuk anda membuat pilihan.

Pun begitu, sebelum memulakan perniagaan, anda perlu mengambil kira tentang syarikat pembekal dan pengurusannya juga.  Adakah pihak pengurusan mampu untuk membekalkan produk pada bila-bila masa?  Bagaimana pula cara belian, cara pembayaran, diskaun, komisyen dan bonus dikendalikan?  Bagaimana dengan sokongan, latihan dan sebagainya?

Tentu saja sekiranya anda dapat produk dan pengurusan yang baik, ia akan memudahkan urusan perniagaan anda.  Tetapi bukan sedikit yang mengalami pengalaman mendapat produk yang bagus tetapi pengurusan bermasalah dan pada ketika yang lain mendapat sokongan pengurusan yang baik tetapi produknya hanya biasa-biasa sahaja.  Jika salah satu menjadi pincang, anda tentu memilih mengikut keutamaan anda menceburi perniagaan tersebut.


Pengurusan harus ada hala tuju yang jelas

Sekiranya anda mementingkan produk dan perkhidmatan selepas jualan sebagai keutamaan dalam perniagaan anda, mungkin kekurangan dan kelemahan pihak pengeluar atau pengurusan, boleh dirundingkan kemudian. 

Tetapi sekiranya wang menjadi keutamaan anda melibatkan diri dalam perniagaan, keupayaan pihak pengurusan pasti menjadi faktor penentu sebelum anda menceburi perniagaan tersebut.

Walau apapun pilihan yang ada, kejujuran dan amanah kepada pelanggan wajib menjadi teras dalam perniagaan anda. Banyak contoh yang menunjukkan, kejayaan seseorang dalam perniagaan bukan saja kerana produk atau pihak pengurusan, tetapi kepercayaan bakal pelanggan kepada peniaga itu sendirilah yang akan menghasilkan jualan, kejayaan dan kekayaan.


18.12.13

Kawan Kita

Kawan masa senang atau kawan masa susah?

Ada pepatah menyatakan, 'Kawan ketawa  senang di cari, kawan menangis sukar  didapati'.  Saya ingin tukar sedikit menjadi "Kawan ketawa datang sendiri, kawan menangis menghilang diri".

Ia seakan menjadi lumrah alam.  Dalam waktu-waktu tertentu semasa kita senang sedikit, ramailah yang datang, bertanya khabar, ajak minum, menjemput ke majlis-majlis mereka dan sebagainya.  Kita dilayan seperti  sahabat baik dan saudara rapat mereka.

Tetapi sebaliknya, semasa kita dalam kepayahan, mereka hilang entah ke mana.  Walhal, pada ketika itulah kita memerlukan bantuan, ketika itulah kita perlukan sokongan dan ketika itulah kita mencari makna persahabatan dan saudara yang sebenar.

Apa kata mulai sekarang, kita tukar paradigma ini. 

Anda kawan yang bagaimana? (Gambar Hiasan)
 
Cari dan kunjungi rakan-rakan dan saudara mara kita yang kita tahu sedang berada dalam keadaan sukar.  Jika tidak dapat membantu dari  segi wang ringgit dan barangan keperluan sekalipun, memadailah dengan kunjungan kita kepada mereka.  Sokongan kita kepada mereka. Tentu mereka gembira.  Dalam saat-saat sukar, ada juga yang menyantuni.

Mungkin satu hari nanti pepatah diatas tidak berguna lagi, bila "kawan susah dan senang sentiasa berada di sekeliling dan di hati kita."
 
 

11.12.13

Aura Positif

Kaitannya dengan kehidupan kita

Aura positif berkait rapat dengan keadaan ceria, damai dan suasana positif di sekeliling kita.  Ia berkenaan dengan apa yang kita rasa, apa yang ada dalam fikiran kita, sentuhan irama hati kita dan bagaimana kita merangsang semua elemen itu menjadi padu, sekata dan segar.

Senyuman boleh tingkatkan aura positif  
 
Hidup yang sentiasa dalam keadaan aura positif, bukan saja akan memudahkan kerja, tetapi membolehkan apa yang sedang kita lakukan, menjadi lebih seronok, santai dan memberikan hasil yang terbaik.
 
Sebagai contoh, sekiranya kita minat menulis, tulislah dengan penuh semangat, dalam keadaan santai, seronok, dengan hati yang lapang, fokus dan teruja.  Keadaan ini akan menjadikan hasil tulisan kita dipenuhi oleh aura positif dan menghasilkan tulisan yang seronok di baca oleh orang lain. 
 
Kita biasa membaca buku-buku cerita, buku masakan, buku motivasi dan pelbagai jenis buku yang kita minat, tetapi baru saja membacanya beberapa muka surat, kita jadi boring, lantas tidak menghabiskan bacaan buku tersebut.  Keadaan ini berlaku, mungkin kerana ketika pengarangnya menulis, dia tidak berada dalam mood santai, menulis secara tergesa-gesa untuk menyiapkannya dan tidak menulis dengan sentuhan jiwa.  Jadi aura positif tidak mengelilinginya ketika itu.  Ini menyebabkan tulisannya tidak mengujakan walaupun ada mesej murni untuk disampaikan.

Hobi yang menyenyangkan
- Gambar Hiasan
Contoh yang lain, kita mungkin suka memasak (walau bukan pandai sangat pun) dan sesekali masakan kita di puji oleh ahli keluarga, bukan sebab sedapnya masakan itu, tetapi ketika menyediakannya, kita memasak dengan hati, merasa dengan jiwa, berasa seronok dan tersenyum sendirian di dapur.  Aura positif akan menjadi aktif, mengelilingi dapur, menyebabkan kita merasa teruja ketika memasak.  Kesannya terserlah apabila makanan tersebut dihidang di meja, dijamah oleh ahli keluarga dan tetamu, ia menimbulkan satu nikmat yang menyelerakan.

Begitu juga dengan kehidupan harian kita. Sekiranya, selama ini kehidupan kita biasa-biasa saja, maka kita perlu mengubahnya. Apabila kita berubah untuk jadi lebih positif, insyaAllah, kita boleh pula mengubah persekitaran dan orang lain, secara langsung mahupun secara tidak langsung.
 
Mulai sekarang, hadapilah kehidupan ini penuh dengan senyuman, riang ria, bersemangat, santai tapi fokus, agar aura positif sentiasa bersama kita.  Ia bukan saja dapat memberi kesan yang menyenangkan kepada kita, tetapi untuk semua yang kita sayangi dan mereka yang menyayangi kita.