4.2.14

Kisah Keretapi

Kaitannya kepada yang ingin memulakan perniagaan sendiri
 
Suatu ketika dahulu, apabila sebuah keretapi yang panjang dan sarat dengan muatan, ingin memulakan perjalanan ke satu destinasi tertentu, ia pasti mengalami kepayahan yang amat sangat untuk memulakan perjalanannya.
 
Cuba imbas kembali menerusi filem-filem lama yang di tonton di kaca televisyen. Boleh anda bayangkan kesukarannya?
 
Engin keretapi tersebut perlu dipanaskan terlebih dahulu dengan menggunakan arangbatu yang banyak. Beberapa orang pekerja diperlukan untuk menyodok arangbatu yang begitu berat ke dalam relau di bahagian engin keretapi.

Dengan suhu yang amat panas dan dengan api marak yang membakar, pekerja-pekerja tersebut menjalankan tugas mereka dengan tekun dan pantas.  Tanpa menghiraukan baju yang dibasahi peluh jantan dan ditambah dengan asap hitam yang busuk, mereka begitu gigih bekerja, hanya semata-mata untuk memastikan keretapi dapat memulakan perjalanannya.
 
 Setelah memastikan enjin cukup panas, barulah kapten atau pegawai keretapi membunyikan loceng dan orang ramai mula bergegas menaiki keretapi tersebut.  Pada minit-minit awal, keretapi itu bergerak dengan amat sukar sekali bagi memulakan perjalanannya.

Lama kelamaan, barulah ia bergerak dengan mudah dan lancar sehingga tiada yang dapat menghalangnya.  Kenderaan terpaksa berhenti untuk beri laluan; gajah, harimau dan binatang buas bertempiaran lari apabila mendengar bunyinya; unggas dan ruminan mendiamkan diri.  Begitulah perumpamaannya, sehinggalah keretapi tersebut sampai ke destinasinya dengan selamat dan dengan begitu banyak gerabak.
 
Begitulah juga apabila anda ingin memulakan perniagaan.

Tentu begitu banyak duri dan ranjau yang perlu ditempuhi.  Banyak faktor yang perlu difikirkan dan diberikan perhatian. Tentang produk, pelan pemasaran, modal, rakaniaga, ganjaran, sokongan syarikat, latihan, bakal pelanggan, premis, keuntungan dan sebagainya.

Ini semua memerlukan jiwa yang kental, kegigihan yang berterusan, percaya pada diri sendiri, yakin dengan keputusan yang dibuat dan dapat fokus dengan apa saja bidang perniagaan yang diusahakan.  Perlu bersedia dan berlapang dada dalam menempuhi segala cabaran dan rintangan. 

Bersedialah menerima kritikan, penolakan, cemuhan malah cemburu dari mereka yang tidak mahu.  Jangan berputus asa, kongsikan peluang dengan yang lain.  Pasaran begitu luas. Istiqomah dalam meneruskan usaha sehingga beroleh kejayaan.

Hanya setelah semua ini dipadu dan disebatikan dalam diri, barulah perjalanan yang bakal dilalui, dapat ditempuhi dengan mudah dan berjaya. Jangan bimbang kerana hampir semua orang melalui proses ini.

Ya, ia begitu sukar pada mulanya, tetapi apabila 'keretapi' anda mula meluncur laju, tiada apa yang dapat menghalang anda untuk terus ke destinasi kejayaan dan kekayaan; bukan sahaja berseorangan tetapi juga dengan semua yang bersama-sama anda. InsyaAllah.

 

No comments: