11.12.13

Aura Positif

Kaitannya dengan kehidupan kita

Aura positif berkait rapat dengan keadaan ceria, damai dan suasana positif di sekeliling kita.  Ia berkenaan dengan apa yang kita rasa, apa yang ada dalam fikiran kita, sentuhan irama hati kita dan bagaimana kita merangsang semua elemen itu menjadi padu, sekata dan segar.

Senyuman boleh tingkatkan aura positif  
 
Hidup yang sentiasa dalam keadaan aura positif, bukan saja akan memudahkan kerja, tetapi membolehkan apa yang sedang kita lakukan, menjadi lebih seronok, santai dan memberikan hasil yang terbaik.
 
Sebagai contoh, sekiranya kita minat menulis, tulislah dengan penuh semangat, dalam keadaan santai, seronok, dengan hati yang lapang, fokus dan teruja.  Keadaan ini akan menjadikan hasil tulisan kita dipenuhi oleh aura positif dan menghasilkan tulisan yang seronok di baca oleh orang lain. 
 
Kita biasa membaca buku-buku cerita, buku masakan, buku motivasi dan pelbagai jenis buku yang kita minat, tetapi baru saja membacanya beberapa muka surat, kita jadi boring, lantas tidak menghabiskan bacaan buku tersebut.  Keadaan ini berlaku, mungkin kerana ketika pengarangnya menulis, dia tidak berada dalam mood santai, menulis secara tergesa-gesa untuk menyiapkannya dan tidak menulis dengan sentuhan jiwa.  Jadi aura positif tidak mengelilinginya ketika itu.  Ini menyebabkan tulisannya tidak mengujakan walaupun ada mesej murni untuk disampaikan.

Hobi yang menyenyangkan
- Gambar Hiasan
Contoh yang lain, kita mungkin suka memasak (walau bukan pandai sangat pun) dan sesekali masakan kita di puji oleh ahli keluarga, bukan sebab sedapnya masakan itu, tetapi ketika menyediakannya, kita memasak dengan hati, merasa dengan jiwa, berasa seronok dan tersenyum sendirian di dapur.  Aura positif akan menjadi aktif, mengelilingi dapur, menyebabkan kita merasa teruja ketika memasak.  Kesannya terserlah apabila makanan tersebut dihidang di meja, dijamah oleh ahli keluarga dan tetamu, ia menimbulkan satu nikmat yang menyelerakan.

Begitu juga dengan kehidupan harian kita. Sekiranya, selama ini kehidupan kita biasa-biasa saja, maka kita perlu mengubahnya. Apabila kita berubah untuk jadi lebih positif, insyaAllah, kita boleh pula mengubah persekitaran dan orang lain, secara langsung mahupun secara tidak langsung.
 
Mulai sekarang, hadapilah kehidupan ini penuh dengan senyuman, riang ria, bersemangat, santai tapi fokus, agar aura positif sentiasa bersama kita.  Ia bukan saja dapat memberi kesan yang menyenangkan kepada kita, tetapi untuk semua yang kita sayangi dan mereka yang menyayangi kita.
 
 
 
 

No comments: