4.2.14

Kisah Keretapi

Kaitannya kepada yang ingin memulakan perniagaan sendiri
 
Suatu ketika dahulu, apabila sebuah keretapi yang panjang dan sarat dengan muatan, ingin memulakan perjalanan ke satu destinasi tertentu, ia pasti mengalami kepayahan yang amat sangat untuk memulakan perjalanannya.
 
Cuba imbas kembali menerusi filem-filem lama yang di tonton di kaca televisyen. Boleh anda bayangkan kesukarannya?
 
Engin keretapi tersebut perlu dipanaskan terlebih dahulu dengan menggunakan arangbatu yang banyak. Beberapa orang pekerja diperlukan untuk menyodok arangbatu yang begitu berat ke dalam relau di bahagian engin keretapi.

Dengan suhu yang amat panas dan dengan api marak yang membakar, pekerja-pekerja tersebut menjalankan tugas mereka dengan tekun dan pantas.  Tanpa menghiraukan baju yang dibasahi peluh jantan dan ditambah dengan asap hitam yang busuk, mereka begitu gigih bekerja, hanya semata-mata untuk memastikan keretapi dapat memulakan perjalanannya.
 
 Setelah memastikan enjin cukup panas, barulah kapten atau pegawai keretapi membunyikan loceng dan orang ramai mula bergegas menaiki keretapi tersebut.  Pada minit-minit awal, keretapi itu bergerak dengan amat sukar sekali bagi memulakan perjalanannya.

Lama kelamaan, barulah ia bergerak dengan mudah dan lancar sehingga tiada yang dapat menghalangnya.  Kenderaan terpaksa berhenti untuk beri laluan; gajah, harimau dan binatang buas bertempiaran lari apabila mendengar bunyinya; unggas dan ruminan mendiamkan diri.  Begitulah perumpamaannya, sehinggalah keretapi tersebut sampai ke destinasinya dengan selamat dan dengan begitu banyak gerabak.
 
Begitulah juga apabila anda ingin memulakan perniagaan.

Tentu begitu banyak duri dan ranjau yang perlu ditempuhi.  Banyak faktor yang perlu difikirkan dan diberikan perhatian. Tentang produk, pelan pemasaran, modal, rakaniaga, ganjaran, sokongan syarikat, latihan, bakal pelanggan, premis, keuntungan dan sebagainya.

Ini semua memerlukan jiwa yang kental, kegigihan yang berterusan, percaya pada diri sendiri, yakin dengan keputusan yang dibuat dan dapat fokus dengan apa saja bidang perniagaan yang diusahakan.  Perlu bersedia dan berlapang dada dalam menempuhi segala cabaran dan rintangan. 

Bersedialah menerima kritikan, penolakan, cemuhan malah cemburu dari mereka yang tidak mahu.  Jangan berputus asa, kongsikan peluang dengan yang lain.  Pasaran begitu luas. Istiqomah dalam meneruskan usaha sehingga beroleh kejayaan.

Hanya setelah semua ini dipadu dan disebatikan dalam diri, barulah perjalanan yang bakal dilalui, dapat ditempuhi dengan mudah dan berjaya. Jangan bimbang kerana hampir semua orang melalui proses ini.

Ya, ia begitu sukar pada mulanya, tetapi apabila 'keretapi' anda mula meluncur laju, tiada apa yang dapat menghalang anda untuk terus ke destinasi kejayaan dan kekayaan; bukan sahaja berseorangan tetapi juga dengan semua yang bersama-sama anda. InsyaAllah.

 

1.1.14

Orang Muda: Selepas Perkahwinan

Tinggal dengan keluarga atau sewa rumah lain?
 
Perkahwinan merupakan pengakhiran kehidupan orang bujang dan menjadi permulaan hidup berkeluarga bagi pasangan lelaki dan perempuan.  Bagi orang Islam, ia merupakan salah satu sunnah Nabi Muhammad S.A.W.

Perkahwinan adalah Sunnah

Dalam kehidupan di zaman yang semakin canggih sekarang, banyak sebab yang menghalang pembinaan kehidupan berkeluarga ini di usia yang sepatutnya. Halangan-halangan ini, bukan saja menambahkan lagi bilangan orang bujang tetapi juga menyebabkan penambahan gejala sosial yang semakin meruncing, perlakuan seks bebas dan kes buang bayi yang semakin meningkat dari masa ke semasa dan lain-lain lagi.

Untuk mengadakan majlis perkahwinan itu sendiri memakan beberapa proses tertentu yang melibatkan kos yang tinggi. Dengan acara meminang, majlis pertunangan, akad nikah, malam berinai sehinggalah majlis jamuan, semuanya memerlukan perbelanjaan yang bukan sedikit, walaupun tidak perlu, sebenarnya.

Dengan kos taraf hidup yang semakin tinggi, harga barang keperluan yang semakin meningkat dan wang yang semakin rendah nilainya, menjadi tambahan kepada faktor penyebab bagi anak-anak muda ini terpaksa melewatkan perkahwinan mereka.

Antara sebab lain, terpaksa keluar dari rumah keluarga didiami selama ini dan perlu menyewa rumah lain, yang tentu saja kadar sewanya yang semakin mahal, dengan kos utiliti seperti letrik, air, telefon, penyelenggaraan, cukai dan bermacam kos lagi, yang memeningkan.

Kebanyakan ibu bapa sering mengesa anak-anak muda ini, mencari rumah sewa terlebih dahulu, sebagai persiapan awal, sebelum mengadakan majlis perkahwinan anak-anak mereka.  Mereka siap memberi contoh bahawa mereka juga keluar dari rumah dan tinggal di rumah yang lain, sejurus selepas majlis perkahwinan mereka dahulu.

Apa kata, perkara seperti ini kita ubah.  Beri sokongan kepada hasrat mereka untuk berumahtangga dan cadangkan mereka tinggal bersama keluarga dahulu.
 

Tinggal dengan keluarga atau cari rumah sewa?
Dengan cara ini, kita bukan saja dapat mengenali ahli baru keluarga kita iaitu menantu kita, tetapi dapat pula membantu pasangan pengantin ini mengurangkan bebanan mereka juga.

Dengan masa dan ruang tertentu, mereka sendiri tentu akan menyewa rumah lain atau membeli rumah mereka sendiri di kemudian hari, mengikut kemampuan mereka dan berpindah keluar dengan kerelaan mereka bagi mengharungi kehidupan berkeluarga yang sebenarnya.